Bab 10: Bertemu Allah Di Syurga

Amatlah menyedihkan apabila kita mendapati mazhab-mazhab khalifah mempunyai gambaran yang liar tentang pertemuan dengan Allah di pasar-pasar di Syurga!

1. Ibn Majah dan Tirmidhi telah memetik perbualan berikut dalam Sunan-sunan mereka:

Abu Hurairah pada suatu ketika berkata kepada Said bin Musayyab:

"Aku berdoa semoga kita berdua dapat saling bertemu di pasar di Syurga!"

Said bertanya:

"Adakah di Syurga mempunyai pasar?"

Abu Hurairah berkata:

"Sudah tentu, ada! Nabi SAWAW memberitahu kepadaku apabila manusia di Syurga mahu memasukinya, mereka akan di tempatkan di suatu tempat mengikut tahap kebaikan mereka. Kemudian mereka akan diizinkan untuk bertemu Allah untuk suatu jangka masa yang menyamai satu hari Juma'at di dunia. Maka mereka akan menemuiNya, dan Dia akan menunjukkan kepada mereka KerusiNya, dan menunjukkan DiriNya pada satu taman di antara taman-taman di Syurga.

"Kemudian Dia akan menetapkan untuk mereka anak tangga daripada cahaya, permata, nilam, dan emas. Paling bawah sekali di kalangan mereka akan di tempatkan pada timbunan wangi-wangian, mereka semua berasa di tempatkan pada kedudukan yang lebih baik!"

Abu Hurairah menyambung:

"Kemudian Aku bertanya kepada Nabi SAWAW:

"Wahai Rasulullah! Akan kita akan melihat Allah?

Dia berkata:

"Adakah kamu berasa sangsi melihat matahari atau bulan penuh?"

Kami berkata:

"Tidak, kami tidak sangsi."

Dia berkata:

"Maka begitu juga kalian tidak akan berasa sangsi melihat Tuhan kalian, Yang Maha Tinggi.

Setiap orang akan di dizinkan menemuiNya, dan kepada seseorang Dia akan berkata:

"Wahai sipolan! Adakah kamu masih ingat pada suatu hari kamu melakukan perlakuan (dosa) seperti itu?

Dia akan berkata:

"Wahai Tuhan, tidak Engkau mengampunkanku?"

Allah akan berkata:

"Sudah tentu, Aku mengampunkan kamu. Lantaran rahmatKu yang telah membawa kamu kepada kedudukan ini!"

"Kemudian mereka akan diliputi oleh awan yang tebal, dan kemudian turun hujan wangi, bau yang mereka tidak pernah alami sebelum ini.

Allah akan berkata:

"Bersenang-lenanglah menikmati rahmatKu dan ambillah apa sahaja yang kalian kehendaki."

"Kemudian kami akan pergi ke pasar bersama dengan malaikat. Di pasar tersebut dipenuhi dengan benda-benda yang kami tidak pernah lihat atau dengar atau bayangkan. Kami akan mengambil apa sahaja yang kamu inginkan tanpa perlu berjual-beli! Orang ramai akan menziarahi sesama mereka, yang berada pada kedudukan yang tinggi akan menziarahi mereka pada kedudukan yang rendah, dan pada hakikatnya tidak ada orang yang berkedudukan rendah kerana masing-masing berada pada aturan kedudukan yang paling baik. Tidak ada nada penyesalan.

"Kemudian kami akan kembali ke tempat masing-masing, di mana kami akan menemui pasangan masing-masing. Mereka akan berkata:

"Marhaban, kalian telah kembali dengan wajah yang lebih tampan sejak kalian meninggalkan kami!"

"Kami akan berkata:

"Kami kembali dengan rahmat kerana kami tadi telah bertemu Tuhan kami."

Cerita asal kisah dongeng ini boleh ditemui dalam riwayat daripada Ka'b al-Ahbar yang dipetik oleh Darami dalam kitabnya yang menentang mazhab Jahmiyyah:

Ka'b berkata:

"Allah tidak akan melawat Syurga kecuali untuk berkata:"Berwangilah kepada penghunimu." Kemudian bau wangi akan meningkat di semua tempat. Dan pada suatu jangka waktu yang menyamai kepada Hari Eid ketika di dunia, mereka akan bersiar-siar di taman-taman Syurga. Allah akan kelihatan, mereka akan melihatNya. Angin kencang bertiup dengan bau semerbak wangi, dan permintaan mereka akan dikabulkan oleh Tuhan mereka. Kemudian mereka akan kembali menemui keluarga mereka, dengan wajah tampan telah bertambah tujuh puluh kali."

Abu Hurairah nampaknya menokok-tambah kisah ini supaya ia lebih sedap di dengar. Di samping riwayat tersebut, di kalangan ulama daripada mazhab khalifah telah berusaha menafsirkan ayat-ayat Qur'an supaya ia sejalan dengan kisah di atas.

2. Al-Qur'an menyatakan:

"Bagi orang-orang yang berbuat baik, ada pahala yang terbaik dan tambahannya. Dan muka mereka tidak di tutupi debu hitam dan tidak (pula) kehinaan. Mereka itulah penghuni syurga, mereka kekal di dalamnya." (Yunus: 26)

Dalam ayat ini, frasa "dan tambahannya" disebutkan selepas ganjaran pahala, ditafsirkan maksudnya sebagai dapat melihat Allah! Tabari memetik daripada sahabat-sahabat Nabi SAWAW, manakala Suyuti memetik daripada sembilan, bahawa Nabi SAWAW berkata:

"Maksud tambahannya yang dijanjikan Allah dalam ayat ini ialah Allah akan menunjukan DiriNya kepada mereka."

Selanjutnya Abu Musa Ash'ari meriwayatkan daripada Nabi SAWAW:

"Pada Hari Akhirat, Allah akan mengirimkan utusan kepada penghuni Syurga, mengumumkan dalam suara yang kuat sehingga di dengar oleh seluruh penghuni Syurga:"Allah telah berjanji kalian dengan kebaikan dan tambahannya. Kebaikannya ialah Syurga yang kamu menetap - dan tambahannya ialah melihat Wajah Yang Maha Pemurah."

Tayalasi, Ahmad Hanbal, Muslim, Tirmidhi, Ibn Majah, Tabari, Suyuti, dan lain-lain penafsir al-Qur'an dan periwayat hadith telah memetik riwayat berikut dari Shuayb:

"Nabi SAWAW membacakan ayat berikut:

" Bagi orang-orang yang berbuat baik, ada pahala yang terbaik dan tambahannya…"

Kemudian berkata:

"Apabila penghuni-penghuni Syurga telah ditempatkan di taman-taman Syurga dan penghuni-penghuni Neraka telah di tempatkan dalam api Neraka, satu utusan akan membuat pengumuman:"Wahai penghuni Syurga, ada satu lagi janji Allah yang akan dipenuhi sekarang!"

Penghuni Syurga akan bertanya:"Dan apakah lagi janji yang belum dipenuhi? Tidakkah Allah telah memberatkan timbangan kami dan menceriakan wajah-wajah kami? Tidak Dia telah menjauhkan kami daripada api Neraka?"

"Apabila mendengar hal ini, Allah akan membuka hijab, dan mereka akan melihatNya. Demi Allah! Dari segala rahmat yang telah diberikan Allah, tidak ada sesuatu yang dapat menandingi nikmat melihat WajahNya."

Ibn Kathir dalam kitab Tafsir tentang ayat yang sama menyatakan:

"Di samping pahala yang diberikan kepada orang yang baik, mereka akan diberikan anugerah melihat WajahNya. Dan hal ini telah disokong pernyataan Abu Bakar, dan lain-lain…."

Beliau telah memberikan senarai 15 orang di kalangan sahabat Nabi SAWAW dan lain-lain.

Malahan Fakhruddin Razi cenderung untuk menerima pengertian tersebut apabila membincangkan ayat ini. Dia berkata:

"Kami telah menjelaskan bahawa maksud perkataan "dan tambahannya" dalam ayat ini merujuk kepada melihat Allah."

3. Ada riwayat dari Nabi SAWAW berkaitan dengan ayat berikut:

"Wajah-wajah pada hari itu berseri-seri,

Kepada Tuhannya mereka melihat." (Al-Qiyamah: 22-23)

Anas bin Malik meriwayatkan daripada Nabi SAWAW:

"Pada Hari Akhirat, golongan lelaki beriman akan melihat Allah setiap Hari Juma'at, dan golongan wanita mukminah akan melihatNya pada Hari Eid Fitr dan Adha."

Pada riwayat lain yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik, kami dapati beliau berkata:

"Nabi membaca ayat ini kemudian menerangkan:

"Demi Allah! Ayat ini tidak dimansuhkan. Mereka akan sesungguhnya melihat Allah. Mereka diberikan nikmat makanan dan minuman, wangi-wangian dan perhiasan. Dan apabila hijab di antara mereka dan Tuhan mereka dibuka, mereka akan melihat Tuhan mereka dan Tuhan mereka melihat mereka. Inilah maksud pengertian Allah dalam firmanNya:

"Bagi mereka rezekinya di syurga itu tiap-tiap pagi dan petang." (Maryam: 62)

Suyuti telah meriwayatkan daripada Jabir:

"Nabi SAWAW berkata:

"Allah akan memberikan anugerah melihatNya kepada semua orang, tetapi untuk Abu Bakr Siddiq akan diberikan yang lebih istimewa."

Abdullah bin Umar mengaitkan hadith berikut kepada Nabi SAWAW:

"Maqam yang paling rendah di Syurga ialah orang-orang beriman menerima rahmat Allah dari jarak seribu tahun. Dan maqam yang paling tinggi ialah mereka dapat melihat Wajah Allah pada pagi dan petang."

Tabari telah memetik kepercayaan yang sama dalam Tafsirnya dan Fakhruddin Razi dalam Tafsir al-Kabir:

"Tidak ada pengertian yang lain daripada ayat tersebut kecuali pengertian melihat dengan mata."

Malahan para ahli tafsir moden daripada mazhab khalifah seperti Sayyid Qutb (w.1386H) membuat kenyataan yang serupa dalam tafsirnya Fi-Zilal al-Qur'an bahawa pada Hari Akhirat, ada pertemuan fizikal dengan Allah, dan penghuni Syurga akan merasai pengalaman yang hebat itu. Beliau menulis:

"Ayat ini menyatakan suatu pengalaman ringkas di mana kata-kata tidak dapat diucapkan, dan akal tidak dapat menjelaskan. Pengalaman itu berlaku apabila seseorang itu masuk kepada suatu keadaan maknawi ruhiah di syurga dengan segala rahmat dan nikmat yang sangat melimpah. Wajah-wajah yang terang benderang akan mendongak ket atas menyaksikan Wajah Allah! Sungguh ia suatu nikmat yang tidak terhingga. Sungguh ia suatu kedudukan yang agung!

"Apabila seseorang melihat keindahan makhluk di sekelilingnya; cahaya bulan di malam hari atau pada kegelapan, atau fajar di waktu subuh, dia akan berasakan suatu nikmat keindahan dan inspirasi! Apakah keadaannya pada suatu ketika apabila ia dapat melihat bukan ciptaan Allah tetapi keindahan Allah sendiri? Bagaimanakah wajah tidak bercahaya apabila melihatNya?"

"Manusia tidak akan dapat mencapai keadaan itu melainkan dia membersihkan dirinya daripada segala halangan, satu keadaan yang amat luhur di mana ia mengikis segala keraguan tanpa tujuan-tujuan lain melainkan ingin melihat Allah SWT."

"Mengapa ada setengah orang yang menafikan cahaya yang melimpah dan nikmat ini? Mengapa mereka membatasi diri mereka dengan menghabiskan masa dengan perbahasan akademik dan akal sedangkan hal ini di luar batas akal manusia?

"Marilah kita bangkit untuk menerima nikmat atas rahmat yang besar ini dan membenarkan imiginasi kita melewati keadaan itu. Harapan ini sebenarnya adalah satu rahmat yang agung daripada perkara-perkara lain iaitu melihat dengan pandangan yang sebenar Wajah Allah Yang Maha Agung."

Kami akan membawakan kepada anda ajaran-ajaran Ahlul Bait AS berkenaan perkara di atas.

Mazhab Ahlul Bait AS

1. Abdus Salam bin Swaleh meriwayatkan daripada Abu al-Swalt al-Hirawi daripada Imam Ridha AS. Beliau berkata:

"Aku bertanya Ali bin Musa al-Ridha AS:

"Apakah pendapat anda tentang pemikiran yang disebarkan oleh sesetengah ahli hadith bahawa orang-orang beriman akan menziarahi Tuhan mereka di Syurga kelak?"

Imam AS berkata:

"Wahai Aba al-Swalt, Allah merahmati NabiNya SAWAW dengan segala kelebihan daripada makhluk-makhlukNya, termasuklah Nabi-nabi dan malaikat dan telah meletakkan ketaatan kepada Nabi SAWAW seperti ketaatan kepada DiriNya, dan melihat Nabi SAWAW di dunia dan di akhirat seperti melihatNya."

Allah berfirman dalam Qur'an:

"Barang siapa yang mentaati Rasul itu, sesungguhnya ia telah mentaati Allah…"(Al-Nisa: 80)

Dan Dia berfirman lagi:

"Sesungguhnya orang-orang yang berjanji setia kepada kamu sesungguhnya mereka berjanji setia kepada Allah. Tangan Allah di atas tangan mereka…."(Al-Fath: 10)

"Dan Nabi SAWAW berkata:

"Barang siapa melawatku pada masa hidup dan selepas kematianku, akan mendapat pahala seperti melawat Allah."

"Kedudukan Nabi SAWAW di Syurga amatlah tinggi. Lantaran itu melihatnya atau melawatnya diumpamakan seperti melawat Allah SWT."

Abu Swalt berkata:

"Wahai cucu Nabi SAWAW, bagaimanakah kami akan memahami hadith yang menyatakan:"Barang siapa yang bersaksi tidak Tuhan melainkan Allah akan dapat melihat Wajah Allah."

Imam AS berkata:

"Wahai Aba Swalt, barang siapa mengatakan Allah mempunyai wajah (seperti manusia) telah melakukan penghinaan (kepada Allah). Wajah tersebut bererti Rasul dan NabiNya AS, kerana mereka memandu manusia ke jalan Allah, beriman kepadaNya, jalanNya dan keredhaanNya.

Inilah pengertiannya dalam firman Allah:

i) "Semua yang ada di bumi itu akan binasa. Dan kekallah wajah Tuhanmu yang mempunyai kebesaran dan kemuliaan." (al-Rahman: 27)

ii) "Segala sesuatun akan binasa kecuali WajahNya." (Al-Qasas: 88)

"Balasan yang paling besar sekali kepada orang-orang beriman di Akhirat kelak ialah dapat bertemu para Nabi dan Rasul-rasul Allah. Nabi SAWAW berkata:

"Mereka yang membenci Ahlul Baitku dan keturunanku tidak akan dapat menemuiku atau aku pergi berjumpa dengan mereka Pada Hari Akhirat."

Beliau juga berkata kepada sahabat-sahabatnya:

"Ada di kalangan kalian yang tidak akan dapat berjumpa denganku selepas mereka memisahkan diri mereka daripadaku di dunia."

"Wahai Aba Swalt! Allah SWT tidak boleh dikaitkan dengan tempat atau ruang. Dia tidak boleh dicapai oleh penglihatan atau imaginasi!"

2. Ibrahim bin Abu Mahmood meriwayatkan daripada Imam Ridha AS ketika ditanya tentang ayat berikut:

"Dan wajah-wajah pada hari ini berseri-seri. Kepada Tuhannyalah mereka melihat." (Al-Qiyamah: 22-23)

Beliau AS berkata:

"Pengertiannya wajah-wajah mereka akan berseri-seri dalam mengharapkan balasan daripada Tuhan."

3. Berkenaan ayat berikut:

"Bagi orang-orang yang berbuat baik, ada pahala yang terbaik dan tambahannya."(Yunus: 26)

Kami ada tiga hadith daripada Imam-imam Ahlul Bait AS yang menerangkan pengertian yang sebenarnya.

a) Amirul Mukminin Imam Ali berkata:

"Pahala yang terbaik dalam ayat ini merujuk kepada balasan di Syurga dan 'Tambahannya' merujuk kepada balasan tambahan yang diberikan di dunia."

b) Imam Baqir AS berkata:

"Ayat ini menyatakan tentang balasan tambahan, bermaksud Allah akan memberikannya pada ketika hidupnya di dunia bukan pada Hari Akhirat."

c) Imam Ja'far al-Sadiq AS berkata:

"Tambahannya" akan diberikan di dunia ini, iaitu Allah memberikan rahmatNya kepada orang-orang beriman ketika hidupnya dan ia tidak ditolak daripada balasan yang akan diperolehinya pada Hari Akhirat. Maka Allah memberikan kepada mereka kedua-dua balasan kerana amal baik yang mereka lakukan."

Amatlah memeranjatkan apabila ulama dari mazhab khalifah selalu memilih pengertian ayat-ayat Qur'an tentang Tuhan mengikut pandangan Yahudi dan Kristian. Marilah kita mengambil contoh maksud perkataan "Nadhirah" yang bermaksud 'melihat' secara literal.

Raghib dalam Mufradat al-Qu'ran berkata "Nadhirah" mempunyai dua makna:

i) Orang yang melihat

ii) Orang yang mengharapkan atau menunggu sesuatu dengan penuh harapan

Al-Qur'an sendiri menggunakan perkataan tersebut untuk membawa pengertian " menunggu sesuatu dengan penuh harapan". Dalam Surah al-Naml, ayat 35 berbunyi:

"Dan sesungguhnya aku akan mengirim utusan kepada mereka dengan (membawa) hadiah, dan (aku akan) menunggu (fa-nadhirah) apa yang akan dibawa kembali oleh utusan-utusan itu." (Al-Naml: 35)

Ahlul Bait AS telah menerangkan dengan jelas bahawa ayat tersebut tidak membawa pengertian melihat Allah dengan mata. Ia hanya menjelaskan bagaimana orang-orang beriman akan menunggu dengan penuh harapan balasan yang akan mereka terima pada Hari Akhirat.

Begitu juga apabila mereka menafsirkan perkataan "Ziyadah" yang bermaksud "tambahannya" yang digunakan oleh Allah dalam al-Qur'an dengan mengikut tafsiran al-Qur'an sendiri.

Allah berfirman:

"Orang-orang yang berbuat baik di dunia ini mendapat (pembalasan) yang baik. Dan sesungguhnya kampung akhirat adalah lebih baik dan itulah sebaik-baik tempat bagi orang yang bertaqwa." (Al-Nahl: 30)

Mentafsirkan 'tambahannya' sebagai melihat Allah adalah jauh sekali dari maksud pengertian sebenar. Pada bab berikut yang merupakan bab yang terakhir dan kesimpulan, kami akan menjelaskan secara ringkas perbandingan di antara dua mazhab tersebut, dan membuktikan bahawa ajaran tulen Islam yang jauh dari sebarang sisipan dan pencemaran sesungguhnya datang dari Ahlul Bait AS yang berasal dari ajaran Rasulullah SAWAW.

Catatan Kaki:

Darami, al-Radd ala al-Jahmiyyah - hlm. 53

Tabari, Tafsir - 11/73 dan Suyuti, Tafsir - 3/305, 306.

Sahih Muslim - hlm. 163; Sunah Ibn Majah - 1/67; Musnad Ahmad - 4/333; Tafsir Tabari -11/75; Tafsir Suyuti - 3/305.

Tafsir al-Kabir - 17/78, 79.

Al-Durr al-Manthur - 6/292.

Fi Zilal al-Qur'an, Syed Qutb - Edisi Pertama, Cairo - 29/208 - 210.

Tawhid al-Sadooq - hlm. 117 -118.

Tawhid al-Sadooq - hlm. 116.