Bab 9:Melihat Allah!

Mazhab khalifah telah membahaskan melihat Allah SWT:

i) Nabi SAWAW melihat Allah semasa hidupnya;

ii) Orang-orang mukmin melihat Allah pada Hari Pembalasan, sebelum mereka masuk ke syurga;

iii) Orang-orang mukmin melihat Allah ketika mereka berada di syurga.

Ibn Khuzaimah dalam kitab Tawhidnya meriwayatkan hadith daripada Ibn Abbas, Abu Dzar dan Anas yang menyokong kepercayaan bahawa Nabi SAWAW melihat Allah. Sebagai contoh, daripada Ibn Abbas telah diriwayatkan hadith bahawa Allah merahmati Nabi Ibrahim AS dengan mengambilnya sebagai khalil, Nabi Musa AS dengan berkata-kata dengannya, dan Nabi Muhammad SAWAW dengan menunjukkan DiriNya kepadanya. Dalam riwayat-riwayat tersebut nama Ikramah, hamba yang telah dibebaskan oleh Ibn Abbas telah disebutkan. Ikramah sangat terkenal kerana meriwayatkan hadith-hadith palsu yang dikaitkan dengan Ibn Abbas.

Di sudut yang lain pula, kita tahu bahawa Ibn Abbas adalah di antara sahabat-sahabat yang rapat dan menjadi murid kepada Imam Ali AS. Amatlah tidak masuk akal jika Ibn Abbas akan menyatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan ajaran-ajaran Ahlul Bait AS. Pada hakikatnya Ibn Khuzaimah telah dipengaruhi oleh pemikiran Ka'b al-Ahbar sebagaimana dalam riwayat yang dipetiknya berikut:

"Allah telah membahagikan dua anugerah istimewaNya di antara Musa dan Muhammad - anugerah berkata-kata secara langsung dan anugerah melihat Allah. Maka Muhammad SAWAW melihatNya dua kali, dan Musa berkata-kata denganNya dua kali."

Amat wajar disebutkan di sini bahawa ada di kalangan ulama dan sahabat yang bertentangan dengan mazhab Ahlul Bait AS secara tegas menolak kepercayaan Nabi SAWAW melihat Allah. Di antara mereka ialah Aisyah, isteri Nabi SAWAW. Tetapi Ibn Khuzaimah mengambil hadith yang dianggapnya sahih daripada riwayat Ka'b al-Ahbar sebaliknya menolak hadith Aisyah.

Dalam hadith yang panjang daripada Abu Hurairah yang diriwayatkan oleh Bukhari, Muslim, Abu Daud, Ibn Majah, Tirmidhi, Ahmad bin Hanbal dan Suyuti, kita akan dapat menyaksikan satu gambaran yang aneh Pada Hari Pembalasan kelak.

"Abu Hurairah berkata:

"Di kalangan orang ramai berkata:

'Wahai Rasulullah, adakah kami akan dapat melihat Tuhan kami Pada Hari Pembalasan kelak?'

"Nabi SAWAW menjawab:

'Adakah kalian berasa sangsi melihat matahari pada hari yang cerah?'

"Mereka berkata:

'Tidak sekali-kali wahai Nabi.'

"Nabi berkata:

'Adakah kalian berasa sangsi melihat bulan penuh pada malam yang cerah?'

"Mereka berkata:

'Tidak sekali-kali wahai Nabi.'

"Nabi berkata:

'Maka kalian akan melihatNya pada Hari Pembalasan! Allah akan mengumpulkan semua manusia dan kemudian akan menyeru:"Setiap orang mengikut sembahan-sembahan mereka."Maka ada yang mengikut matahari dan ada yang mengikut bulan. Ada di kalangan mereka yang mengikut syaitan. Kemudian manusia dari kalangan umatku, bersama dengan golongan munafik tidak bergerak di tempat mereka berdiri. Allah kemudian akan menunjukkan DiriNya dan wajah yang asing bagi mereka dan berkata:"Akulah Tuhan kamu!"

"Mereka menyeru:

"Kami memohon perlindungan daripada Tuhan kami daripada kamu. Kami akan tetap di sini sehinggalah Tuhan kami datang. Dan apabila Dia datang, kami akan mengenaliNya.'

"Kemudian Allah datang dengan wajah yang mereka kenali dan berkata:

"Akulah Tuhan kamu!"

"Mereka akan berkata:

"Benar, Engkau adalah Tuhan kami."

Kemudian mereka akan mengikutiNya, dan Allah akan meletakkan titian sirat di atas neraka."

Kemudian Abu Hurairah meneruskan ceritanya tentang api neraka dan menerangkan bagaimana orang-orang beriman akan akhirnya selamat daripada siksaan. Kemudian dia berkata:

'Seorang lelaki akan tertinggal di belakang dengan wajahnya menghadap api neraka. Dia akan berkata:

'Wahai Tuhan! Bau yang tidak menyenangkan telah meracun diriku, dan apinya telah melecurkanku. Jauhkan wajahku daripada neraka."

"Dia terus mengulangi rayuannya itu beberapa kali sehinggalah Allah akan berkata:

"Jika Aku mengikut kehendakmu, kamu akan meminta lebih dari itu."

"Orang itu akan berkata:

'Demi kemuliaanMu, aku tidak akan meminta lebih dari itu.'

"Kemudian Allah memusingkan wajahnya daripada api neraka. Tiba-tiba orang itu berkata:

'Wahai Tuhan, bawakan aku dekat pintu syurga.'

"Allah akan berkata:

'Tidakkah kamu berjanji tadi bahawa kamu tidak meminta yang lain? Celakalah kamu wahai anak Adam! Kamu berbohong."

"Tetapi orang itu terus meminta. Maka Allah akan berkata:

"Adakah kamu akan meminta yang lain selepas Aku berikan apa yang kamu minta?"

"Orang itu berkata:

'Tidak, demi kemuliaanMu, aku tidak akan meminta yang lain.'

'Dan dia akan membuat janji yang bersungguh-sungguh; dan Allah akan membawanya ke pintu syurga. Apabila dia melihat rahmatNya yang melimpah di Syurga, dia mendiamkan dirinya dan berdiri dalam keadaan takut sebentar, dan kemudian merayu:

'Wahai Tuhan, izinkan aku masuk ke syurgaMu.'

Allah akan berkata:

'Tidakkah engkau telah berjanji tidak akan meminta lebih lagi daripada apa yang engkau minta sebelum ini? Celaka bagi kamu wahai anak Adam! Kamu berbohong." Tetapi orang ini terus merayu dan berdoa sehinggalah Allah tertawa melihatnya - dan akhirnya memberikan keizinanNya. Apabila orang itu masuk ke syurga, dia akan diberikan segala kehendaknya, sehinggalah tiada lagi permintaannya.

"Semua ini, dan berganda-ganda adalah untukmu."

Abu Hurairah menambah:

"Orang itu merupakan yang terakhir masuk ke Syurga."

Ini adalah contoh daripada sumber yang di anggap sahih daripada mazhab khalifah. Marilah kita mengkaji penjelasan Ahlul Bait AS.

Allah SWT Tidak Boleh Di Lihat Dengan Mata (Penglihatan Tidak Boleh MencapaiNya)

Imam-imam Ahlul Bait AS telah mengajar bahawa penglihatan tidak boleh dikaitkan dengan Allah. Dia tidak dapat dilihat pada Hari Pembalasan, dan Dia juga tidak dapat dilihat di dunia.

1. Imam Ja'far al-Sadiq berkata:

"Salah seorang yang terpelajar daripada ahlul kitab datang bertemu Imam Ali AS dan mengemukakan soalan:

'Wahai Ali, pernahkah engkau melihat Tuhanmu ketika kamu menyembahNya?

Imam berkata:

"Aku tidak akan menyembah Tuhan yang tidak dapat aku lihat!"

Orang itu bertanya lagi:

"Dan bagaimanakah kamu melihatNya?"

Imam berkata:

"Ingat, mata tidak dapat melihatNya. Namun hati orang yang beriman yang dapat melihatNya."

2. Safwan bin Yahya berkata, Abu Qurrah, salah seorang periwayat hadith mazhab khalifah, memohon izin untuk bertemu Imam Ridha AS. Dalam pertemuan itu, dia mengemukakan beberapa soalan berkaitan dengan hukum-hukum Islam. Kemudian dia berkata:

"Kami mempunyai satu hadith yang menyatakan Allah membahagikan rahmatNya di antara Musa AS dan Muhammad SAWAW. Dengan Musa Dia berkata-kata dan dengan Muhammad SAWAW, dia menunjukkan DiriNya."

Apabila mendengar hal itu, Imam Ridha AS berkata:

"Jika itu benar, siapakah yang menyampaikan ayat-ayat ini daripada Allah:

a)"Mata-mata tidak dapat melihatNya, tetapi Dia mencapai segala penglihatan." (Al-Anam: 103)

b)"Sedangkan ilmu mereka tidak dapat meliputi ilmuNya." (Taha: 110)

c)"Tidak ada sesuatupun yang serupa dengan Dia." (Al-Shura: 11)

"Adakah bukan Muhammad SAWAW yang menyampaikan wahyu ini?"

Abu Qurrah berkata:

"Benar, Muhammad SAWAW yang menyampaikan wahyu itu."

Imam Ridha AS berkata:

"Bagaimanakah seseorang yang mengajar manusia bahawa Allah tidak dapat dilihat, tidak dapat dicapai, tiba-tiba pusing ke belakang dan berkata:"Aku telah melihat Dia, mencapaiNya, dan Dia mempunyai bentuk seperti manusia?"Tidak kamu berasa malu atau rasa bersalah mengaitkan Nabi SAWAW dengan perkara-perkara yang tidak pun dilakukan oleh golongan yang tidak beriman (tetapi kamu melakukannya)?"

Abu Qurrah berkata:

"Tetapi Qur'an menyatakan pada malam Mi'raj, Nabi SAWAW melihatNya."

Kemudian dia membacakan ayat berikut:

"Dan sesungguhnya Muhammad telah melihatnya pada waktu yang lain." (Walaqad-ra-aa-hu naz-latan uhra) (An-Najm: 13)

Abu Qurrah berpendapat gantinama 'nya(hu)' itu bermaksud 'Dia'(Allah).

Imam Ridha AS berkata:

"Kamu sepatutnya membaca ayat seterusnya yang menjelaskan apa yang Nabi SAWAW lihat. Dalam ayat 18, surah yang sama, kamu akan dapati:

"Sesungguhnya dia telah melihat sebahagian tanda-tanda (kekuasaan) Tuhannya yang paling besar." (An-Najm: 18)

"Tanda-tanda kekuasaan Allah bukanlah Allah. Allah tidak dapat dilihat - kerana penglihatan tidak dapat mencapaiNya dan pengetahuan tidak dapat meliputiNya."

Abu Qurrah berkata:

"Adakah anda berpendapat bahawa hadith-hadith yang kami riwayatkan adalah bohong belaka?"

Imam Ridha AS berkata:

"Sebarang hadith yang bertentangan dengan al-Qur'an adalah palsu dan telah secara tidak benar dikaitkan dengan Nabi SAWAW. Aku tidak akan menerimanya."

Penelitian Riwayat Daripada Abu Hurairah

a) Bahawa Allah akan dilihat di Akhirat seperti matahari dan bulan di langit yang cerah;

b) Bahawa Allah akan kelihatan pertama kali dengan wajah yang tidak dikenal, sehingga orang-orang Islam tidak dapat mengenaliNya. Dia akan muncul kembali dengan wajah yang dikenal dan mendapat pengiktirafan di kalangan orang-orang yang beriman;

c) Bahawa seorang lelaki yang menghadap neraka akan berterusan membohongi Allah (dengan janji-janjinya) sebanyak tiga kali;

d) Bahawa Allah akan tertawa seperti mana kita tertawa.

Abu Hurairah nampaknya cenderung untuk menerangkan bahawa Allah seperti pelawak yang bertukar wajah untuk menghiburkan penonton. Seseorang itu akan berfikir dan membayangkan bagaimanakah rupaNya yang dikenali oleh orang-orang Islam? Pernahkah mereka melihatNya suatu ketika dulu (kerana wajah yang dikenali adalah wajah yang pernah dilihat dulu) Jika benar demikian, bilakah mereka melihatNya? Adakah ketika Dia masih Muda, Tua atau wajah yang dimakan usia?!

Malahan Kitab Perjanjian Lama dan Baru tidak ada cerita-cerita yang sedemikian. Nampaknya ia seperti cerita dongeng seorang wanita tua kepada anak-anaknya untuk menidurkan mereka! Tetapi kesan kepada cerita-cerita ini amatlah besar. Kaum Wahabi dan lain-lain mazhab khalifah masih berpegang teguh kepada kepercayaan bahawa Allah akan dapat dilihat dengan mata pada Hari Akhirat.

Penelitian Daripada Penjelasan Ahlul Bait AS:

a) Bahawa penglihatan hanya dapat mencapai benda-benda yang mempunyai tubuh (jisim) atau jirim.

b) Sebarang kewujudan yang tidak mempunyai tubuh umpamanya ruh, cahaya, tenaga letrik dan sebagainya tidak dapat dilihat. Malahan persoalan untuk melihat kewujudan demikian adalah tidak relevan.

c) Allah bukan tubuh (jisim) atau jirim. Dia adalah Pencipta kepada jirim. Seseorang hanya boleh 'melihat'Nya melalui penciptaanNya.

d) Tidak ada sesuatupun yang menyerupaiNya, maka Dia tidak boleh disamakan dengan sebarang bentuk kewujudan makhluk-makhlukNya.

e) Sebarang riwayat yang bertentangan dengan al-Qur'an yang suci adalah palsu dan hendaklah diabaikan.

Catatan Kaki:

Tawhid Ibn Khuzaimah - hlm. 202

Tawhid Sadooq - hlm. 109.

Tawhid Sadooq - hlm. 110-112.