Bab 8: Allah Di Belakang Tabir

Darami, ketika menolak fahaman Jahmiyyah, menulis satu bab bertajuk "Al-Ihtijab", dan memetik hadith-hadith berikut yang dikaitkan dengan Nabi SAWAW:

i) Jabir Ansari berkata:

"Nabi SAWAW berkata Allah tidak pernah berfirman kepada sesiapapun kecuali di balik tabir."

Jelas sekali hadith ini merujuk kepada ayat Qur'an berikut:

"Dan tidak mungkin bagi seseorang manusiapun bahawa Allah berkata-kata dengan dia kecuali dengan perantaraan wahyu atau di belakang tabir…" (Al-Syura: 51)

Mereka mengambil pengertian perkataan "tabir" umpama tabir kain, iaitu tabir yang memisahkan Allah daripada manusia, dan melanjutkan dengan cerita-cerita yang tidak masuk akal. Di sini diberikan contoh cerita tersebut:

ii) Abu Musa Ashari meriwayatkan daripada Nabi SAWAW:

"Tabir Allah diperbuat daripada "api"!

iii) Zurarah bin Awfa meriwayatkan:

"Nabi SAWAW bertanya Jibril sekiranya dia telah melihat Tuhannya. Jibril menjawab:"Wahai Muhammad! Di antara Dia dengan diriku ada tujuh puluh tabir cahaya, dan jika aku cuba mendekati tabir yang paling dekat, nescaya aku akan terbakar."

Di samping tiga hadith ini, ada lagi hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Omar, yang berkata:

"Allah tersembunyi daripada hamba-hambaNya oleh tabir-tabir yang diperbuat daripada Api, Kegelapan dan Cahaya."

Pada akhirnya, Darami membuat kesimpulan:

"Hadith Jibril ini dengan jelas menerangkan Allah berada di belakang tabir, maka ini telah memisahkanNya daripda makhlukNya. Maka jika Dia Maha Berkuasa, berada di mana-mana, maka kewujudan tabir sudah tidak bermakna lagi!"

Ulama dari mazhab khalifah bergantung kepada pengertian literal perkataan Hijab, yang digunakan dalam beberapa ayat Qur'an.

Sebagai contoh, dalam Surah al-Shura: 51, rangkaikata "di belakang tabir" sebenarnya bersifat metapora (mutasyabihat) yang membawa pengertian Allah berkata-kata kepada seseorang manusia (Allah mencipta suara) yang menjadi alat untuk didengar oleh manusia tanpa melihat yang bercakap. Tidak ada tabir bersifat kebendaan yang memisahkan Allah daripada Nabi-nabi, kerana jika hal ini terjadi, maka Allah akan disudutkan kepada satu tempat - ini merupakan satu pemikiran asing yang mencemar konsep Tuhan dalam Islam.

Ayat lain:

"Sekali-kali tidak, sesungguhnya mereka pada hari itu benar-benar tertutup dari Tuhan mereka(Kalla-inna-hum-un-rabbi-him-yauma-dhin-l-la-mahjubun)."(Al-Muthaffifin: 15)

Imam Fakhruddin Razi dalam kitab Tafsirnya (31/96, Cetakan Mesir) berkata:

"Amatlah penting kami mentafsirkan ayat ini untuk membawa pengertian orang-orang kafir dihalang daripada melihat Allah dengan tabir."

Kemudian dia menambah keterangannya dengan memetik daripada Maqatil yang berkata:

"Tabir itu menerangkan bahawa selepas kebangkitan dan hisab, orang-orang kafir tidak akan dapat melihat Allah. Sudah tentu orang-orang beriman akan melihatNya."

Imam mazhab Maliki, Malik bin Anas berkata:

"Lantaran Allah berada di belakang tabir, tersembunyi daripada musuh-musuhnya, Dia akan menunjukkan rahmatnya kepada 'teman-teman'nya (orang-orang beriman) supaya mereka dapat melihatNya."

Dan Muhammad bin Idris Shafie menerangkan ayat berikut:

"Lantaran Allah akan menghijab diriNya daripada musuh-musuhNya untuk menunjukkan murkaNya, maka Dia akan menunjukkan DiriNya kepada mereka yang menjadi teman-temanNya sebagai tanda kepada rahmatNya."

Ibn Kathir dalam Tafsirnya telah mengambil tafsiran Imam Shafie!

Kini, marilah kita beralih kepada tafsiran oleh Ahlul Bait AS:

Adakah Tabir (Hijab) Bagi Allah?

1. Sadooq dalam kitabnya Tawhid mengaitkan satu kisah yang menarik daripada Haarith al-Aawar. Dia berkata pada suatu hari Ali bin Abi Talib AS masuk ke pasar, dia mendengar seorang lelaki yang berdiri di belakangnya bersumpah dengan mengucapkan kata-kata berikut:

"Demi Dia yang berada di belakang tabir tujuh langit!"

Ali bin Abi Talib AS memukul orang itu dan bertanya:

"Dan siapakah yang dihijab dengan tujuh langit?"

Orang itu berkata:

"Wahai Amirul Mukminin, maksudku Allah di belakang tabir-tabir itu.

Ali AS berkata:

"Kata-kata kamu itu merupakan kesalahan yang besar. Tidak ada hijab yang memisahkan Allah daripada makhluk-makhlukNya. Dia berada di mana-mana!"

Lelaki itu bertanya Ali bin Abi Talib AS adakah beliau perlu melakukan sesuatu untuk kaffarah dosa yang telah ia lakukan itu.

Ali AS berkata:

"Kaffarahnya ialah dengan memahami dengan jelas bahawa Dia ada bersama kamu di mana sahaja kamu berada!"

Lelaki itu bertanya lagi:

"Adakah aku perlu memberi makan kepada orang miskin?"

Ali AS berkata:

"Itu juga tidak sesuai di sini, kerana kamu telah bersumpah dengan nama yang bukan Tuhan kamu."

Pemerhatian:

i) Dalam kisah di atas, kita dapati seorang lelaki telah bersumpah dengan perkara bida'ah. Imam Ali AS mengajarnya untuk membayar kiffarahnya dengan memahami hakikat Tawhid yang sebenar. Dia juga menekankan bahawa tidak ada hijab, atau sesuatu yang menghalang - Allah Yang Maha Berkuasa.

ii) Apabila orang yang sama bertanya jika dia perlu membayar kiffarah kerana sumpahnya itu, Imam AS menjelaskan bahawa sumpahnya itu tidak ditujukan kepada Allah - maka ia tidak sah.

2. Sadooq dalam Tawhidnya meriwayatkan:

"Imam Ridha AS ketika ditanya untuk menerangkan ayat berikut:

"Sekali-kali tidak, sesungguhnya mereka pada hari itu benar-benar tertutup dari Tuhan mereka(Kalla-inna-hum-un-rabbi-him-yauma-dhin-l-la-mahjubun)."(Al-Muthaffifin: 15)

Dia AS berkata:

"Tidak ada sesuatu tempat khusus boleh di kaitkan dengan Allah yang memenuhinya, dan menganggap hijab yang memisahkan DiriNya dengan makhluk-makhlukNya. Pengertian sebenar ayat tersebut ialah:

"………………mereka akan di halang daripada rahmat Tuhan mereka."

Kemudian dia ditanya lagi tentang ayat berikut:

"Tiada yang mereka nanti-nantikan (pada Hari Kiamat) melainkan datangnya Allah dalam naungan awan dan malaikat-malaikat dan diputuskan perkaranya…" (Al-Baqarah: 210)


Imam AS berkata:

"Ayat ini tidak boleh difahami secarai literal. Apa yang akan datang dalam naungan awan adalah perintahNya, ketetapanNya. Ia adalah kata kiasan di mana perkataan yang sebelumnya telah ditinggalkan."

Ulama-ulama daripada mazhab yang bertentangan dengan Ahlul Bait AS telah menjadi mangsa sisipan ajaran Yahudi dan Kristian yang dengan jelas sekali mengabaikan ajaran-ajaran al-Qur'an yang sebenarnya.

Dalam Surah al-Nisa, ayat 108, Allah berfirman:

"Mereka bersembunyi dari manusia, tetapi mereka tidak bersembunyi dari Allah, padahal Allah berserta mereka, ketika pada suatu malam mereka menetapkan keputusan rahsia yang Allah tidak redhai."

Ada ayat lain dalam Surah al-Mujadilah, ayat 7:

"Tidakkah kamu perhatikan, bahawa sesungguhnya Allah mengetahui apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi? Tiada pembicaraan rahsia antara tiga orang, melainkan Dialah yang keempatnya. Dan tiada lima orang, melainkan Dialah yang keenamnya. Dan tiada pembicaraan antara yang kurang dari itu atau lebih banyak, melainkan Dia ada bersama mereka di manapun mereka berada. Kemudian Dia akan memberitakan kepada mereka pada Hari Kiamat apa yang telah mereka kerjakan. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu."

Maka di manakan hijab itu? Di manakan idea yang memisahkan daripada makhluk-makhlukNya? Malangnya ia akhirnya membawa mereka percaya Allah akan dapat di lihat secara fizikal oleh orang-orang beriman pada Hari Pembalasan!