Bab 7 'kediaman' Allah

Anthromophisme Di kalangan Umat Islam

Kepercayaan ini mempunyai akar yang kuat di kalangan umat Islam masa lalu khususnya puak Wahabi. Maka amatlah penting melakukan kajian ringkas tentang kepercayaan mereka dan membandingkan dengan aqidah yang diajarkan oleh Ahlul Bait AS.

Oleh kerana mereka memberikan sifat manusia kepada Allah, mereka akhirnya telah meletakkan suatu tempat untukNya. Dan kemudian mereka menimbulkan konsep pergerakan, berpindahnya Allah dari satu tempat ke tempat lain.

i) Abu Hurairah meriwayatkan daripada Nabi Muhammad SAWAW:

"Pada satu bahagian malam, atau pada dua pertiga malam, Allah turun ke langit dunia dan menyeru:"Ada sesiapakah yang menyeru kepadaKu agar Aku dapat menyambut doanya, berdoa kepadaKu supaya aku akan memberi? Siapakah yang akan memberikan Yang Maha Memiliki dan Maha Adil?"

ii) Dalam riwayat yang lain daripada Abu Hurairah, Haroon bin Said menambah:

"Kemudian Allah membuka tanganNya dan berkata:"Siapakah yang ingin memberikan pinjaman kepada Yang Tidak Memerlukan dan bukan Penzalim."

Bukhari turut meriwayatkan hadith daripada Abu Hurairah dalam bab Tawhid, Da'awwat dan Tahajjud. Sekali lagi ia tidak bersendirian. Riwayat-riwayat seperti ini turut juga dilaporkan oleh Ibn Majah, Tirmidhi, dan Abu Daud yang telah memetik riwayat untuk membuktikan Allah turun dan naik dari langit!

iii) Ibn Khuzaimah meriwayatkan dari Abu Hurairah:

"Nabi Muhammad SAWAW bersabda:

"Malaikat berhimpun pada waktu solat subuh dan maghrib. Malaikat yang bertugas pada waktu malam naik ke atas dan yang bertugas untuk waktu siang hari turun ke bawah untuk menjalankan tugas mereka. Dan kemudian malaikat yang bertugas pada waktu malam akan ditanya oleh Allah:"Dalam keadaan apa hamba-hambaKu ketika kalian tinggalkan mereka? Malaikat menjawab:"Kami datang kepada mereka ketika mereka sedang melakukan solat dan kami meninggalkan mereka ketika mereka sedang melakukan solat."

Ketika memberikan pandangannya Ibn Khuzaimah menambah:

"Hadith ini dengan jelas membayangkan bahawa Allah bersemayam di langit dan malaikat-malaikat terbang dari bumi ke langit untuk sampai kepadaNya. Golongan (Jahmiyyah) percaya sesiapa yang percaya Allah bersemayam di langit dan di bumi adalah pembohong kerana jika ia benar, malaikat-malaikat akan pergi kepadaNya di bumi atau di suatu tempat yang rendah di bumi. Semoga Allah melaknat golongan Jahmiyyah selama-lamanya!"

Darimi menyokong pendapat ini, dengan berasaskan dalil daripada perkataan 'nazala' (secara literal membawa pengertian turun) yang digunakan dalam ayat Qur'an. Beliau berkata:

"Ayat-ayat seperti ini boleh dijumpai dalam al-Qur'an dalam banyak tempat. Semuanya dengan jelas menunjukkan Allah menurunkan al-Qur'an dari langit. Jika mereka percaya Allah berada di mana-mana, di bumi dan di bawahnya, maka Dia akan berfirman:"Kami membawakan al-Qur'an" atau "Kami mengeluarkan al-Qur'an." Ayat-ayat ini secara jelas menekankan kedudukan Allah yang tinggi dan dengan ini tidak memerlukan penjelasan lain lagi."

Darami nampaknya sudah dihantui oleh kepercayaannya bahawa Allah bersemayam pada tempatNya di langit. Membincangkan Mi'raj Nabi SAWAW ke langit, beliau berkata:

"Nabi SAWAW menceritakan pengalamannya kepada orang-orang Islam ketika Mi'raj, bagaimana beliau SAWAW naik dari satu langit ke langit yang lebih tinggi sehingga sampai ke Sidratul Muntaha. Jika pendapat lawan kita betul iaitu Allah berada di mana-mana mengapa ia memerlukan Buraq dan Mi'raj? Mengapa Nabi SAWAW di bawa ke langit dan kepada siapa ia dibawa itu? Kamu katakan bahawa Allah di mana-mana, walaupun di rumah Nabi SAWAW tanpa tirai di antaranya. Maka mengapakah perlu keluar?"

Penjelasan Mazhab Ahlul Bait AS

Persoalan-persoalan tentang tempat, berpindah tempat, bertukar tempat atau turun-naik yang dikaitkan kepada Allah pada hakikatnya tidaklah munasabah. Mazhab Ahlul Bait AS menyatakan bahawa sifat-sifat tersebut adalah sifat-sifat makhluk yang diciptakan bukan sifat Yang Maha Pencipta, Yang Maha Berkuasa.

Imam Ridha AS dengan jelas menyatakan hal tersebut ketika ditanya tentang ayat berikut:

"Dan Tuhan kamu akan datang, dan malaikat berbaris-baris…" (Al-Fajr: 22)

Beliau AS berkata:

"Allah tidak boleh dikaitkan dengan pergerakan, datang, pergi, hadir atau tidak hadir. Dia di atas segalanya itu. Ayat yang ditanya ini sebenarnya menunjukkan perintah Allah yang akan diperlihatkan (pada Hari Pembalasan)."

Sayyid Abdul Azeem al-Hasani meriwayatkan daripada Abu Ibrahim bin Abi Mahmood bahawa dia bertanya Imam Ridha AS tentang hadith yang masyhur di kalangan orang ramai tentang Allah turun ke langit dunia. Imam AS berkata:

"Semoga Allah melaknat orang yang menyalahtafsirkan ayat-ayat suci daripada tempatnya yang sebenar! Demi Allah! Nabi SAWAW tidak berkata seperti riwayat tersebut. Apa yang dia katakan ialah:"Allah Yang Maha Tinggi, memerintahkan malaikat turun ke langit dunia pada dua pertiga malam, dan pada malam Juma'at pada satu pertiga malam. Dia (Allah) memerintahkan malaikat mengumumkan:

"Adakah sesiapa yang memohon supaya aku kabulkan?

Adakah sesiapa yang bertaubat supaya aku ampunkan?

Adakah sesiapa yang memohon keampunan maka aku akan maafkan?

Wahai! Sesiapa yang memohon kebaikan, dipersilakan,

Wahai Sesiapa yang memohon keburukan, menghentikannya.

"Malaikat berterusan menyeru sehinggalah terbit fajar, dan apabila masuk waktu subuh, dia kembali naik ke langit."

"Ini adalah hadith sahih yang diriwayatkan daripada datuk-datukku yang meriwayatkan daripada Nabi SAWAW."

Mi'raj Nabi SAWAW

Yunus bin Abd al-Rahman berkata bahawa dia bertanya kepada Imam Musa bin Ja'far al-Kadhim AS:

"Mengapakah Allah mengangkat Nabi SAWAW ke langit dan dari sana sehingga ke Sidratul Muntaha, dan kemudian sehingga sampai ke tirai nur, apabila Dia berfirman dan berkata-kata kepadanya, maka bagaimanakah pengertiannya Allah tidak dapat disamakan dengan tempat bersemayam atau tempat?"

Imam AS menjawab:

"Sesungguhnya tidak ada tempat yang dapat dikaitkan dengan Allah atau Dia tertakluk di bawah masa! Dia mengangkat NabiNya ke langit untuk memberi penghormatan kepada malaikat dan kepada makhluk yang tinggal di langit dan untuk memuliakan mereka dengan kehadirannya (Nabi SAWAW). Juga untuk menunjukkan kepadanya kebesaran ciptaanNya supaya dia boleh berhujah kepada manusia di bumi apabila pulang nanti. Apa yang mereka sifatkan Allah dengan sifat-sifat manusia itu amatlah tidak benar sama sekali! Maha Suci Allah daripada apa yang mereka cakapkan!"

Dalam hadith yang diriwayatkan daripada Abu Baseer, Imam Sadiq AS memberikan penjelasan lengkap tentang pegangan mazhab Ahlul Bait AS dalam permasalahan Tawhid:

"Allah Yang Maha Tinggi, tidak boleh dikaitkan dengan tempat tinggal. Tidak ada pergerakan, diam, melampaui tempat, berpindah dari satu tempat ke tempat lain dapat dikaitkan kepadaNya, kerana Ia adalah Pencipta kepada masa, ruang, pergerakan, atau diam - tidak bergerak. Maha Suci Allah daripada apa yang mereka katakan kepadaNya."

Imam Zayn al-Abidin AS dalam jawapannya yang panjang kepada anaknya Zaid telah memberikan pengertian yang sebenar kepada beberapa ayat yang jika dibaca maknanya secara literal akan membawa maksud Allah bertempat atau mempunyai tempat kediaman. Marilah kita mengkaji ayat-ayat tersebut:

i) Nabi Musa AS berkata:

"Itulah mereka sedang menyusuli aku dan aku bersegera kepadaMu (Wa'ajiltu-ilaika-Rabbi). Ya Tuhanku, agar supaya Engkau ridha (kepadaku)." (Taha: 84)

ii)"Maka segeralah kembali kepada Allah." (Adz-Dzaariyaat: 50)

Imam AS berkata:

"Ayat-ayat ini tidak menunjukkan sebarang tempat di mana Nabi Musa AS bertemu Allah, atau tempat di mana kita di minta untuk pergi. Ini adalah bentuk gaya bahasa yang bermaksud menuju kepada keridhaan Allah dan petunjukNya."

Kemudian beliau AS memberikan contoh-contoh berikut:

i)"Malaikat-malaikat dan Jibril naik kepada Tuhan dalam sehari yang kadarnya limapuluh ribu tahun." (Al-Maarij: 4)

ii)"KepadaNya naik perkataan-perkataan yang baik dan amal yang soleh dinaikkanNya." (Al-Faatir: 10)

"Dalam contoh-contoh di atas, Allah SWT menyatakan tentang beberapa tahap kedudukan di langit. Dengan sampainya mereka ke tahap-tahap tersebut, bermakna mereka telah berjalan di atas jalan Allah (mara ke hadapan di atas jalan yang Allah SWT ridhai)."

Dalam kitab suci al-Qur'an, terdapat banyak contoh-contoh di mana kata nama susulan tidak disebutkan dalam sesuatu ayat. Dalam Al-Burhan fi Uloom Al-Qur'an, Zarkashi berkata:

"Mereka berkata terdapat kira-kira seribu contoh dalam al-Qur'an yang tidak menyebutkan kata nama susulan. Perkara ini telah diketahui oleh kebanyakan ulama."

Sebagai contoh, kami kemukakan ayat berikut:

"Dan bertanyalah kepada negeri itu di mana kami berada di situ (Was-alil-qaryatal-lati kunna-fiha)……"(Yusuf: 82)

Perkataan yang tidak disebutkan ialah "Ahl" - membawa pengertian penduduk. Maka apa yang Allah firmankan adalah:

"Dan bertanyalah kepada (penduduk) negeri itu……"

Walau bagaimanpun perkara ini amat difahami oleh para pembaca yang prihatin kepada gaya bahasa yang dituturkan itu.

Berdasarkan cara pertuturan ini, Imam Ridha AS menerangkan ayat berikut:

"Dan Tuhan kamu akan datang…(Wa-ja-a-rabbuka…)"

Kata nama yang tersembunyi atau perkataan yang menyusul sebelumnya ialah 'Amr' yang membawa maksud "perintah" atau "ketetapan", maka ayat ini berbunyi seperti berikut:

"Dan (perintah) Tuhan kamu akan datang….."

Jelas sekali Imam AS membuat penerangan tu berdasarkan ayat Qur'an yang meletakkan kata 'Amr' (perintah atau ketetapan) bersama 'kedatangan Tuhan."

i)"Wahai Ibrahim, tinggalkan soal jawab ini, sesungguhnya telah datang ketetapan Tuhanmu, (Innahu-qad-ja-a-amru-rabbika…) dan sesungguhnya mereka itu akan didatangi azab yang tidak dapat ditolak." (Hud: 76)

ii)"Dan Kami tidaklah menganiaya mereka tetapi merekalah yang menganiaya diri mereka sendiri, kerana itu tiadalah bermanfaat sedikitpun kepada mereka sembahan-sembahan yang mereka seru selain Allah di waktu datangnya ketetapan Tuhanmu (lamma-ja-a-amru-rabbika). Dan sembahan-sembahan itu tidaklah menambah kepada mereka kecuali kebinasaan belaka." (Hud: 101)

Pada kedua-dua contoh di atas, kata kerja "datang" di sertakan bersama kata susulan sebelumnya iaitu "Amru-Rabbika," (ketetapan Tuhan kamu). Ini dengan jelas menyampaikan maksud "kedatangan Tuhan", di bumi atau pada Hari Pembalasan.

Para ulama daripada mazhab khalifah berpegang kepada pengertian bahawa ada kerusi atau takhta untuk Allah, dan kemudian mencari alasan dengan menyatakan terdapat tabir yang memisahkanNya dengan kehidupan makhlukNya. Kami akan membahaskan perkara ini dalam bab-bab yang akan datang.

Catatan Kaki:

Memberi bentuk dan perwatakan manusia kepada Tuhan - penterjemah.

Sahih Muslim - hlm. 522.

Sahih Muslim - hlm. 522.

Darami, al-Radd ala al-Jahmiyyah - hlm.24,25 dan 26.

Tawhid Sadooq - hlm. 162.

Tawhid Sadooq - hlm. 162.

Tawhid Sadooq - hlm. 175

Tawhid Sadooq - hlm. 183-184

Tawhid Sadooq.