PENGENALAN (II)


Pengertian Sebenar Istilah Yang Samar (mutasyabihat) Dalam al-Qur'an:

Dalam Bahasa Arab dan Parsi, seperti juga bahasa-bahasa lain, apabila satu perkataan digunakan untuk membawa makna tentang sesuatu yang asal, maka penggunaan perkataan itu bersifat aktual. Contohnya apabila kita berkata:"Tangan pencuri itu telah dipotong," maka istilah "tangan" dalam contoh ini digunakan untuk maksud sebenarnya iaitu tangan sipencuri itu. Tetapi apabila satu perkataan digunakan sebagai bentuk ucapan yang membawa maksud yang lain yang bukan makna sebenar perkataan itu, ia dipanggil perkataan figuratif atau metapora. Sebagai contoh, apabila perkataan "tangan" digunakan untuk membawa makna "kuasa," "pihak berkuasa" dan seterusnnya.

Kadang kala dikatakan:

"Ada tangan yang lebih tinggi daripada tangan-tangan lain."

Dalam contoh ini, maksudnya ialah adalah satu kuasa yang lebih tinggi daripada kuasa-kuasa yang lain di bawahnya. Penggunaan istilah demikian sering dipakai dalam karya sastera dengan tujuan untuk menambahkan lagi keindahan gaya bahasa dalam karya tersebut.

Al-Qur'an dalam gaya bahasanya yang tidak dapat ditiru dan amat indah dan tinggi nilainya, turut menggunakan gaya bahasa tersebut dalam pelbagai tempat. Contohnya:

"Dan janganlah kamu jadikan tanganmu terbelenggu pada lehermu dan janganlah kamu terlalu menghulurkannya kerana itu kamu menjadi tercela dan menyesal." (Al-Isra': 29)

Namun amat jelas terbukti bahawa perkataan-perkataan dalam ayat tersebur tidak dapat disimpulkan secara literal. Makna dalam ayat di atas adalah:

"Janganlah kamu kedekut dan berbelanja boros…."

Contoh lain ialah perkataan "Siraat" dalam Bahasa Arab bermakna "jalan" atau 'lorong". Dalam Surah al-Fatihah, jika kita mengambil makna secara literal "Siraat", maka ayat itu bermaksud:

"Tunjukkan kami jalan yang lurus. Jalan orang-orang yang telah Engkau anugerahkan nikmat kepada mereka; bukan (jalan) mereka yang dimurkai dan bukan (jalan) mereka yang sesat."

Ayat di atas bukan bermaksud jalan-jalan yang dilalui oleh orang-orang Arab ketika itu. Ayat itu bermaksud cara hidup yang dibawa Nabi Muhammad SAWAW yang memandu kepada cara hidup yang diredhai Allah SWT iaitu jalan atau cara hidup Islam. Kami memohon supaya ditunjukkan kepada kami jalan yang benar dan diredhai dan bukan jalan atau cara hidup yang sesat yang dimurkaiNya.

Kesimpulannya:

Para ahli Bahasa Arab pasti akan mengesahkan bahawa perkataan "tangan terbuka" dalam ayat Qur'an tidak bermaksud tangan fizikal seperti manusia. Ia bermaksud anugerah yang berlimpah-ruah. Begitu juga maksud Siraat tidak merujuk kepada jalan raya yang berdebu tetapi merujuk kepada cara hidup yang benar iaitu Islam.

Walaupun para ahli tafsir daripada kalangan yang bertentangan dengan Ahlul Bait AS membuat kesimpulan demikian namun masih amat memeranjatkan apabila perkataan yang merujuk kepada anggota tubuh manusia seperti "tangan", "mata" dan "betis" dalam Qur'an telah disalahtafsirkan oleh mereka dengan mengambil makna secara literal yang merujuk kepada anggota tubuh manusia. Mazhab Ahlul Bait AS sebaliknya menafsirkan makna perkataan-perkataan tersebut secara metapora.

Justeru, amatlah penting untuk membandingkan kekuatan hujah di antara dua mazhab tersebut, dan mengkaji bagaimana hujah-hujah kedua mazhab itu disokong oleh nas-nas dari al-Qur'an dan hadith-hadith. Dengan cara ini akan membuatkan kita memahami sifat-sifat Yang Maha Suci yang sebenarnya dalam Islam.]

Memilih satu buku Tawhid daripada setiap mazhab:

Kami telah memilih satu buku daripada mazhab khalifah dan satu buku daripada mazhab Ahlul Bait AS untuk mewakili pandangan kedua-dua mazhab tentang Tawhid. Kitab Tawhid karya Ibn Khuzaimah mewakili mazhab khalifah dan kitab Tawhid oleh Syaikh Sadooq mewakili mazhab Ahlul Bait AS. Sebelum kami meneruskan memetik daripada setiap mazhab, kami rasa amatlah baik untuk memperkenalkan kedua-dua pengarang tersebut supaya kedudukan mereka dapat difahami oleh pembaca.


Ibn Khuzaimah dalam pandangan mazhab khalifah:

Ulama mazhab khalifah telah menggambarkan Ibn Khuzaimah sebagai:
- Imamul Aimmah

- Al-Hafidh al-Kabeer

- Al-Mujtahid al-Mutlaq

- Bahrul Ulum

- Rai'sul Muhaddithin

- Habrul Ulama al-Amilin

- Ka'bahtul Ulama


Biografi Muhammad bin Isyaq Khuzaimah Nisaburi:

Beliau dilahirkan pada tahun 213 Hijrah dan wafat pada tahun 311 Hijrah. Para ulama telah meriwayatkan hadith daripada beliau termasuklah pengarang kitab hadith Bukhari dan Muslim. Di katakan Ibn Khuzaimah menerima hadith-hadith yang diriwayatkan oleh mereka berdua itu.

Selain daripada karya-karya pendek yang menjawab pelbagai soalan-soalan, Ibn Khuzaimah telah menulis 140 karya besar termasuklah kitabnya berjudul Sahih Ibn Khuzaimah. Terdapat ulama yang berpendapat Sahih lebih besar daripada Sahih Bukhari dan Muslim.

Dalam perbahasan yang ringkas ini, kami bergantung kepada kitabnya berjudul Tawhid yang disyarahkan oleh Muhammad Khaleel Haras al-Azhar, Mesir dan dicetak oleh al-Azhar Universiti Press, tahun 1378H.

Shaikh Saduq pada pandangan mazhab Ahlul Bait AS:

Shaikh Saduq adalah nama gelaran kepada Abu Muhammad bin Ali bin Husayn bin Babawayh Qummi. Beliau wafat pada tahun 381H. Beliau adalah ulama yang masyhur dan rasanya tidaklah perlu untuk diperkenalkan lebih lanjut. Hampir 200 karya besar telah ditulis oleh beliau.

Dalam perbahasan ini, kami bergantung kepada kitabnya Tawhid yang dicetak di Tehran, pada tahun 1381H, dan syarah oleh Syed Hashim Husayni Tehrani.

Kedua-dua kitab tersebut akan menjadi asas dalam perbahasan kita. Sebagai tambahan, kami juga merujuk kepada karya-karya masyhur seperti kitabul Tawhid, Sahih Bukhari, kitabul Imam, Sahih Muslim. Sumber-sumber dari mazhab Ahlul Bait AS pula kami merujuk kepada Kitab Tawhid, Bihar al-Anwar karya Majlisi (wafat 1111H).